Asyraf Wajdi Dusuki

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana konsep wakaf telah menggariskan syarat-syarat tertentu yang mempunyai sandaran aset kekal dan keadaan itu menyebabkan mustahil untuk dana tersebut digunakan bagi membiayai kumpulan pengganas.

“Penyaluran dana wakaf perlu melalui prosedur ketat, kerana itu amat mudah untuk mengesan jika ia digunakan bagi tujuan selain perkara-perkara yang memanfaatkan umat Islam.

“Ini termasuk untuk mengenal pasti sebarang kegiatan menyalahi prosedur yang dikendalikan Majlis Agama Islam Negeri,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Khairul Azwan Harun berhubung penyaluran dana wakaf yang dikhuatiri untuk pembiayaan kumpulan yang terlibat dengan Daesh dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Dalam pada itu, menjawab soalan asal Senator Abdul Shukor Mohd. Sultan berhubung tindakan kerajaan dalam memaksimumkan peranan wakaf untuk mengatasi kemiskinan bandar, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan menerusi Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) bersama Majlis Agama Islam Negeri selaku pemegang amanah tunggal bagi semua tanah wakaf sentiasa bekerjasama memajukan tanah-tanah itu untuk memantapkan ekonomi orang Islam.

Katanya, pembangunan itu dibuat melalui projek-projek hartanah wakaf merangkumi pembangunan ekonomi, perumahan, pendidikan, kesihatan sosial dan premis perniagaan.