Sehubungan itu Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) mencadangkan satu undang-undang berkaitan hukuman terhadap pihak yang menyorok serta menyeludup barang se­perti minyak masak bersubsidi digubal.

Hasan berkata, perbuatan menyorok dan menyeludup minyak masak bersubsidi itu merupakan kegiatan jenayah berat dan telah me­nimbulkan kesukaran kepada kumpulan rakyat yang benar-benar memerlukan.

“Saya cadangkan su­paya hukuman pen­jara dikenakan kepada mereka yang menyorok dan menyeludup barang se­perti mi­nyak masak bersubsidi. Bagi ke­salahan dengan jumlah barangan seludup lebih besar, saya cadangkan pesalah dikenakan hukuman sebat. Kedua-dua hukuman itu adalah setimpal kerana menyusahkan orang mis­kin yang sepatutnya me­nerima barangan bersubsidi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pandangan sama turut disokong oleh Datuk Ikmal Hi­s­ham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) yang mencadangkan supaya peniaga yang menyorok serta menyeludup minyak masak bersubsidi dikenakan hukuman sebatan.

Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) juga bersetuju dengan ca­dangan itu memandangkan hukuman denda tidak memberi kesan kepada golongan peniaga berkenaan.

“Kita sebat sahaja, kita tunjuk di khalayak ramai,” jelas beliau.

Bagi Datuk Ir. Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) pula, be­liau mencadangkan supaya kerajaan menggunakan pendekatan tegas sebagaimana diambil oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang melaksanakan hukuman bunuh terhadap pengedar dadah di negara itu.

“Dalam konteks negara ini, hukuman denda yang lebih berat perlu dikenakan terhadap pesalah,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Normala Abdul Samad (BN-Pasir Gudang) mahukan hukuman denda terhadap pesalah ditingkatkan kerana jumlah sedia ada tidak memberi kesan kepada mereka.

“Selain itu, tarik terus lesen mereka, hapuskan, tidak boleh bagi lesen lagi. Ramai lagi orang lain nak berniaga,” katanya.