MASZLEE MALIK
MASZLEE

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, beliau tidak mahu pandangan politik mereka menjadi penghalang kepada agenda reformasi kerajaan Pakatan Harapan terhadap universiti-universiti awam.

Katanya, beliau mempunyai laporan mengenai beberapa individu yang terlibat dalam politik dan masih berkomunikasi dengan ahli Parlimen dan tokoh-tokoh BN.

“Mulanya saya pelik macam mana mereka (pemimpin BN) tahu adanya mesyuarat kementerian dengan naib canselor tapi sudah tentunya mereka mendapat maklumat daripada naib canselor yang masih berkomunikasi dengan mereka. Jadi naib canselor ini bekerja untuk Kementerian Pendidikan atau bekerja dengan pembangkang? Ini satu soalan yang besar.

“Saya tidak beri amaran, cuma saya ada menawarkan mereka meletak jawatan tanpa diambil tindakan jika mereka tidak boleh melaksanakan agenda reformasi atau bersama kerajaan memacu perubahan universiti awam untuk membawa agenda perubahan secara menyeluruh,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan beberapa naib canselor dan timbalan naib canselor yang kononnya masih bekerjasama dengan bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. - UTUSAN ONLINE