ANWAR IBRAHIM
ANWAR IBRAHIM 

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan mesti dilakukan dengan merujuk dan mengambil kira penjelasan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Boleh bincang dan teliti semula merujuk kepada Perdana Menteri kerana yang minta untuk ditukarkan itu adalah manifesto Pakatan Harapan (PH) yang jelas mengatakan Pengerusi PAC harus daripada pembangkang.

“Namun perkara ini harus diluruskan melalui perbincangan dengan Perdana Menteri, bagi saya masih terikat dengan manifesto, tapi kita mesti kena dengar penjelasan Perdana Menteri dalam hal ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Isu mengenai jawatan PAC timbul apabila Ronald menjadi salah seorang daripada wakil rakyat Sabah yang meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipimpin Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir ketika menjelaskan perkara itu sebelum ini memberitahu, Ronald kekal sebagai Pengerusi PAC walaupun telah menyertai Bersatu.

Jelas Ahli Parlimen Langkawi itu, walaupun jawatan tersebut diperuntukkan untuk diisi oleh Ahli Parlimen pembangkang tetapi ia adalah perkara dasar oleh kerajaan dan ‘ia bukan sesuatu yang diinstitusikan atau sebahagian daripada perlembagaan’, “ katanya. - UTUSAN ONLINE