Perdana Menteri berkata, insentif itu ditawarkan kepada golongan berkenaan bagi membantu mereka memajukan perniagaan dan menembusi pasaran antarabangsa. 

“Ini merupakan satu insentif yang sangat baik, malah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melalui program Rangkaian Inovasi Pemecutan Global (GAIN) turut menyediakan khidmat nasihat dan kepakaran kepada syarikat teknologi tempatan yang berpotensi.

“Sebanyak 149 syarikat tempatan berteknologi tinggi mendapat manfaat daripada program seperti ini,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan tambahan Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang meminta kerajaan menyatakan insentif yang diberikan untuk membantu usahawan baharu yang ingin memulakan perniagaan dalam industri ekonomi digital.

Perdana Menteri menambah, kerajaan turut menerima sambutan menggalakkan terhadap program e-Rezeki dan e-Usahawan yang dilaksanakan sejajar dengan usaha membangunkan ekonomi digital di negara ini. 

“Baru-baru ini, saya berjumpa dengan kira-kira 4,000 e-Usahawan muda dan mereka menunjukkan minat yang luar biasa. Jadi, pada peringkat ini, kita hanya mahu menimbulkan kesedaran rakyat melalui penglibatan mereka dalam program Digital Malaysia,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Najib memberitahu, sebanyak 92,926 usahawan muda dan desa telah mengikuti latihan dan kursus e-Usahawan sejak Januari 2016 sehingga September lalu.  

Perdana Menteri memberitahu, daripada jumlah itu, sebanyak 27,170 atau 29 peratus peserta mula mencatatkan jualan tambahan keseluruhan berjumlah lebih RM112 juta.