Menurut Datuk Seri Hamzah Zainuddin, perbincangan itu dilakukan setelah mendapat maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk bersama syarikat pengeluar minyak pada 20 Jun, dan para pengusaha stesen petrol pada 6 Julai lepas.

"Kementerian masih berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi mengambil kira segala faktor sebelum dapat melaksanakan strategi baharu ini," katanya ketika menjawab soalan Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) yang ingin tahu masalah yang timbul berikutan pelaksanaan harga petrol dan diesel secara terapung setiap minggu pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Hamzah berkata, pelaksanaan strategi baharu penetapan harga itu juga akan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk kemampuan pengguna untuk membayar harga tersebut.

Mengenai aduan pengusaha stesen minyak bahawa mereka mengalami kerugian berikutan pelaksanaan penetapan harga secara mingguan sekarang, beliau berkata kerajaan melaksanakan inisiatif untuk memastikan bahawa kerugian yang dialami masih boleh diterima.

Antaranya termasuk menggalakkan pengusaha menyediakan kemudahan kedai runcit di stesen minyak untuk membantu menjana pendapatan tambahan serta menjalankan program-program promosi di stesen minyak bagi menarik lebih ramai pelanggan ke kedai runcit tersebut.

Hamzah menambah, trend kenaikan harga minyak dunia sejak beberapa minggu kebelakangan ini diharap dapat membantu mengurangkan kerugian yang dialami para pengusaha stesen minyak sehingga strategi baharu diumumkan kelak. - BERNAMA