Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Sa­mad berpandangan, tuduhan mereka itu merupakan mainan politik Pakatan Harapan diketuai DAP menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 serta bertujuan mengalih isu pe­mimpin DAP yang sedang disiasat kerana skandal rasuah di Pulau Pinang.

Beliau turut mencadangkan kepada Parlimen dan kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap ketiga-tiga ahli Parlimen DAP ter­babit kerana melemparkan tuduhan yang berat dan tidak berasas terhadap Pandikar Amin.

“BNBBC mahu tuduhan berniat jahat dan tidak berasas terhadap Pandikar Amin dihentikan. Sepanjang menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau telah menjalankan tugas dengan baik tanpa menyekat soalan-soalan atau usul yang tidak menyalahi peraturan mesyuarat.

“Apatah lagi menyekat kebebasan seorang Yang Berhormat daripada menjalankan tugasnya sebagai ahli Parlimen di Dewan Rakyat yang mulia ini,” katanya dalam sidang akhbar di bilik media bangunan Parlimen hari ini.

Semalam, portal berita propembangkang, Malaysiakini melaporkan tiga ahli Parlimen DAP iaitu Nga Kor Ming (Taiping), Ngeh Koo Ham (Beruas) dan V. Sivakumar (Batu Gajah) menuntut Pandikar Amin meletak jawatan kerana menolak usul berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu kapal mewah Equanimity milik Jho Low.

Jelas Shahrir, serangan ahli Parlimen pembangkang terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung isu 1MDB bukan perkara baharu sebaliknya soalan-soalan berkaitan isu itu pernah dibangkitkan pada setiap sesi sidang Dewan Rakyat sebelum ini.

Malah, kata beliau, ternyata soalan berkaitan 1MDB memang dirancang kerana pembangkang berpandangan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan menolak soalan itu kerana sebahagiannya adalah subjudis.

“Walau bagaimanapun, bukan semua soalan atau usul berkaitan 1MDB ditolak Dewan Rakyat. Pandikar Amin dalam sidang akhbar pada 27 Julai tahun lalu memaklumkan 19 soalan 1MDB telah dibenarkan untuk dibahas pada sesi tersebut.

“Ini sekali gus menyangkal tuduhan pembangkang kerana masih ada soalan berkaitan 1MDB dalam aturan mesyuarat. Kebanyakan soalan yang dikemuka ditolak kerana melanggar Peraturan Mesyuarat 23 (c) berikutan mengandungi banyak unsur tuduhan dan direka,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrir berkata, ketiga-tiga ahli Parlimen DAP terbabit perlu mengambil pengajaran daripada isu penggantungan Ahli Parlimen Batu Gajah dari parti itu, Fong Po Kuan selama enam bulan pada 2001.

"Kes itu boleh menjadi rujukan apabila Po Kuan digantung kerana menghina dan enggan memohon maaf kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika itu, Tun Mohamed Zahir Ismail selepas menuduh beliau menyalahgunakan kuasa budi bicara ketika menolak usul mengenai peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP)," katanya.

Sementara itu, Shahrir berkata, Barisan Nasional (BN) boleh mempertimbangkan untuk memasukkan isu kebajikan kanak-kanak dalam manifesto parti dalam PRU-14 sebagai langkah mempertingkatkan lagi kebajikan golongan itu susulan kajian dilakukan oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) baru-baru ini.