IKMAL HISHAM ABDUL AZIZ
IKMAL HISHAM ABDUL AZIZ

Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) berkata, Pakatan Harapan tidak sepatutnya bersikap sedemikian sekiranya mereka tidak mempunyai sebarang agenda tersirat.

“Saya hairan kenapa mereka melatah tidak tentu pasal seolah-olah dunia akan kiamat apabila undang-undang ini dilaksanakan.

“Jika rakan-rakan saya daripada pembangkang tidak mempunyai apa-apa agenda tersirat atau me­rasakan rang undang-undang ini tidak akan menghilangkan modal kempen mereka dalam PRU-14, marilah bersama menyokong­nya,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang tersebut dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata,  apa yang perlu difahami adalah pelaksanaan undang-undang itu terpakai kepada semua pihak tanpa mengira sama ada pemimpin kerajaan atau pembangkang.

“Semua tidak akan terlepas daripada tindakan jika menyebarkan berita tidak benar. Apa yang hendak ditakutkan kerana yang akan menentukan berita tidak benar atau tidak bukannya kerajaan atau agensinya tetapi mahkamah,” ujarnya.

Dalam pada itu Ikmal Hisham berkata, kerajaan melalui Kementerian Luar digesa untuk memastikan diplomat-diplomat Malaysia di luar negara bersikap lebih proaktif memantau laporan-laporan media asing, khususnya di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) yang semakin ghairah melaporkan berita tidak benar mengenai Malaysia.

Beliau berkata, walaupun kerajaan sudah memberi penjelasan terperinci mengenai isu-isu di dalam negara tetapi tidak mampu menutupi kegilaan media-media asing tertentu yang mahu menjatuhkan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Saya mencadangkan respon segera perlu dilakukan bagi membetulkan laporan media asing se­perti mana yang dibuat oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi.

“Beliau menyelar majalah The Economist di London kerana menyiarkan artikel mengenai Malaysia yang disifatkan mengandungi kesilapan serius, selain memperkecilkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan,” katanya.

Sementara itu katanya, kerajaan perlu menubuhkan satu unit atau jabatan khas di bawah Jabatan Peguam Negara bagi meneliti semua kes yang dilaporkan sebelum tindakan diambil di bawah Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018.