Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan,

“Bahawa Dewan ini membuat ketetapan di bawah Seksyen 10, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan bahawa draf bagi Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri-Negeri Tanah Melayu) 2018, (Kertas Statut ST.28 Tahun 2018), yang telah dibentangkan dalam Dewan ini pada 22 Mac 2018, bersama dengan laporan Suruhanjaya Pilihan Raya bertarikh 6 Mac 2018, tentang Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Di Dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu Kali Keenam Tahun 2018, (Kertas Statut ST.27 Tahun 2018), dan yang akan dibuat di bawah Seksyen 12, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan untuk menguatku­asakan syor-syor yang terkandung dalam laporan tersebut, adalah diluluskan.”

 

Tuan Yang Dipertua,

Sesungguhnya, laporan yang akan dibentangkan pada hari ini, adalah sebuah syor kajian semula persempadanan yang telah disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya ke atas negeri-negeri Tanah Melayu, yang merangkumi Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, yang mempunyai keluasan kira-kira 132,000 kilometer persegi.

Umum mengetahui bahawa setiap negeri di dalam Malaysia adalah unik dan berbeza antara satu sama lain serta mempunyai keistimewaan yang tersendiri, dari segi topografi mahupun taburan penduduk.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, bila­ngan penduduk negeri-negeri Tanah Melayu pada tahun 2015 adalah seramai 24.76 juta orang dan terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Me­layu, Cina serta India.

Untuk pengetahuan Ahli-Ahli Yang Berhormat, kali terakhir urusan kajian semula persempadanan diluluskan adalah pada 2003, yang mana bahagian-bahagian pilihan raya yang diluluskan pada masa itu, telah digunakan dalam tiga siri Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu PRU Ke-11 pada 2004, PRU Ke-12 pada 2008 dan PRU Ke-13 pada 2013.

Memandangkan tempoh lapan tahun telah pun berlalu, maka SPR melaksanakan urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu pada kali ini, selaras dengan peruntukan Fasal (2) Perkara 113, Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, suatu Notis Persempadanan bagi memulakan urusan kajian semula persempadanan pada kali ini, telah dikeluarkan oleh SPR pada 15 September 2016, selaras dengan Seksyen 4, Bahagian II, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan dan SPR perlu menyiapkan kajian tersebut dalam tempoh yang tidak melebihi dua tahun dari tarikh notis tersebut.

Tuan Yang Dipertua,

Sebetulnya, SPR telah pun menyiapkan Laporan Kajian Semula Persempadanan Me­ngenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri Bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu Kali Keenam Tahun 2018, berdasarkan prinsip dan tatacara yang terkandung di dalam Bahagian I dan Bahagian II, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan.

Malah, Laporan Kajian Semula Persempada­nan tersebut telah diserahkan kepada saya pada Jumaat, 9 Mac 2018, selaras dengan peruntukan Seksyen 8, Bahagian II, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan dan laporan itu yang me­ngandungi lima bab juga telah diagihkan kepada semua ahli di dalam Dewan yang mulia ini sebagai Kertas Statut No. ST.27 Tahun 2018.

Bagi Bab 1, dalam laporan tersebut me­nerangkan tentang sejarah urusan kajian semula persempadanan bagi negeri-ne­geri Tanah Me­layu yang terdahulu dan latar belakang Kajian Semula Persempadanan Kali Keenam Tahun 2018.

Tetapi, kajian semula persempadanan ini, tidak melibatkan sebarang pertambahan bilangan bahagian pilihan raya, sebaliknya, ia hanya melibatkan pindaan nama dan sempadan bahagian-bahagian pilihan raya.

Seterusnya, dalam Bab 2 pula, laporan tersebut menerangkan mengenai peruntukan undang-undang bagi menjalankan urusan kajian semula persempadanan seperti mana di bawah Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, bab ini turut menerangkan meka­nisme pelaksanaan urusan kajian semula persempadanan, daftar pemilih yang digunapakai, dan kriteria-kriteria pemilihan nama bagi setiap bahagian pilihan raya.

Tambahan, urusan kajian semula persempadanan pada kali ini, telah dilaksanakan dengan mengguna pakai daftar pemilih yang diperakui dan diwartakan pada 13 Mei 2016 (P.U.(B) 217/2016) dan 6 September 2016 (P.U.(B) 399/2016), yang mana jumlah pemilih berdaftar bagi negeri-negeri Tanah Melayu adalah seramai 11,379,352 orang.

Jika dibandingkan dengan urusan kajian semula persempadanan yang terakhir telah dilaksanakan pada 2003, ia mengguna pakai daftar pemilih yang telah disahkan pada 27 Disember 2001 iaitu seramai 8,347,107 orang pemilih.

Ini bermakna, bilangan pemilih berdaftar bagi negeri-negeri Tanah Melayu telah meningkat sebanyak 36 peratus atau kira-kira 3 juta orang.

 

Tuan Yang Dipertua,

Merujuk kepada Bab 3 di dalam laporan ini, yang me­nyentuh tentang latar belakang, keadaan geografi dan demografi penduduk serta bahagian-bahagian pilihan raya sedia ada di negeri-negeri Tanah Melayu pada masa ini manakala, bagi Bab 4 dalam laporan ini pula, mengandungi maklumat-maklumat me­ngenai notis persempadanan, pameran syor, representasi bantahan dan siasatan tempatan bagi kali pertama serta kali kedua yang telah dilaksanakan oleh SPR, seperti mana yang diperuntukkan di dalam Bahagian II, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan.

Seperti mana yang telah dimaklumkan, urusan kajian semula persempadanan pada kali ini, telah dimulakan pada 15 Se­ptember 2016 dan pa­meran syor-syor serta Rang Pelan Persempadanan bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu, telah dipamerkan selama satu bulan bermula pada 15 September 2016, di 262 tempat pemeriksaan, seperti yang dinyatakan di dalam Notis Persempadanan serta telah di­siarkan di dalam akhbar-akhbar tempatan.

Notis yang diwarta dan di­siarkan di dalam akhbar-akhbar tersebut mengandungi:

 

i) Maklumat mengenai pewujudan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri yang baharu;

ii) Pindaan nama bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri yang sedia ada;

iii) Bilangan pemilih bagi setiap bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri; dan

iiii) Senarai tempat pameran syor Kajian Semula Persempadanan bagi setiap negeri Tanah Melayu.

 

Selain itu, sebagai satu langkah proaktif, notis, syor dan rang pelan tersebut turut dimuat naik ke laman web rasmi SPR, bagi memudahkan maklumat-maklumat tersebut diperoleh atau diakses oleh orang ramai.

Selaras dengan pameran pertama yang dijalankan, SPR telah menerima sebanyak 804 representasi dan daripada jumlah ini, sebanyak 430 representasi telah memenuhi peruntukan Seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan untuk diadakan siasatan tempatan kali pertama.

 

Tuan Yang Dipertua,

Berdasarkan maklum balas yang diterima sepanjang siasatan tempatan kali pertama, syor kajian semula persempadanan tersebut telah disemak semula dan diwartakan kali kedua pada 8 Mac 2017 bagi negeri-negeri Tanah Melayu (kecuali Selangor), manakala pewartaan Selangor pula adalah pada 15 Januari 2018. Notis syor-syor yang dicadangkan bagi bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri di dalam negeri-negeri Tanah Me­layu telah pun disiarkan di dalam akhbar-akbar tempatan.

Pameran kali kedua syor-syor yang dicadang­kan dan rang pelan bagi negeri-negeri Tanah Melayu (kecuali Negeri Selangor) telah dijalankan mulai 8 Mac hingga 7 April 2017 di 153 tempat pemeriksaan manakala, pameran kali kedua bagi Selangor pula telah diadakan mulai 15 Januari hingga 14 Februari 2018 di 19 tempat pemeriksaan.

Sebanyak 881 representasi telah diterima sepanjang tempoh pameran kali kedua dan 170 daripadanya, telah memenuhi syarat-syarat se­perti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5, Bahagian II, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan dan diterima untuk diadakan siasatan tempatan.

Keseluruhannya, bagi kedua-dua pameran yang telah diadakan, SPR telah menerima seba­nyak 1,685 representasi dan 600 daripadanya te­lah diadakan siasatan tempatan.

Selain itu, SPR turut menerima sebanyak 546 representasi yang menyatakan sokongan ke atas syor-syor SPR.

 

Tuan Yang Dipertua,

Oleh yang demikian, hasil yang diperoleh daripada kedua-dua siasatan tempatan yang telah diadakan, SPR telah memutuskan di bawah Seksyen 8, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan dan perincian mengenai syor-syor tersebut dimuatkan di dalam Bab 5 buku laporan ini.

Dalam hal ini, SPR mengesyorkan bahawa, tiada perubahan ke atas bilangan bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri bagi negeri-negeri Tanah Melayu.

Walau bagaimanapun, SPR mengesyorkan pindaan nama ke atas 12 bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan iaitu 1 di Kedah, 2 di Perak, 5 di Selangor, 1 di Negeri Sembilan, satu di Melaka dan 2 di Johor.

Bagi bahagian pilihan raya negeri pula, SPR mengesyorkan pindaan nama ke atas 28 bahagian pilihan raya iaitu satu di Kedah, dua di Kelantan, satu di Terengganu, dua di Perak, sembilan di Se­langor, dua di Negeri Sembilan, tiga di Melaka dan lapan di Johor.

Di dalam laporan ini turut diperincikan maklumat-maklumat mengenai luas kawasan bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri serta bila­ngan pemilih berdaftar bagi setiap daerah me­ngundi, bahagian pilihan raya negeri dan bahagian pilihan raya Persekutuan yang disyorkan.

 

Tuan Yang Dipertua,

Satu perkara yang ingin ditegaskan di sini adalah pembahagian bilangan pemilih berdaftar yang sama rata bagi setiap bahagian-bahagian pilihan raya Persekutuan dan negeri di dalam setiap negeri-negeri Tanah Melayu adalah sukar untuk dilaksanakan kerana terdapatnya kawasan-kawasan luar bandar yang keadaan topografi serta demografinya berbeza antara satu sama lain.

Ini secara tidak langsung, telah mewujudkan kekangan-kekangan dari segi jalan-jalan perhubungan dan pengangkutan. Hal demikian menyebabkan konsentrasi penduduk di kawasan bandar adalah jauh lebih tinggi, berbanding penduduk di kawasan luar bandar.

Sungguhpun demikian, saya difahamkan, SPR sedaya upaya berusaha untuk meringankan beban wakil-wakil rakyat, khususnya di kawasan-kawasan di mana kemudahan-kemudahan perhubungan dan pengangkutan yang terhad.

Dengan demikian, adalah diharapkan agar syor-syor tersebut dapat membantu wakil-wa­kil rakyat untuk menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap dan berkesan kepada semua pemilih di dalam bahagian pilihan raya masing-masing.

Ini memberi kelebihan kepada wakil-wakil rakyat untuk mening­katkan kecekapan per­khidmatan masing-masing, sekali gus menafikan persepsi dan dakwaan yang tidak benar lagi berasas bahawa, syor-syor ini hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja.

Berhubung ini juga, sebagai pemberitahuan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, saya dimaklumkan bahawa, terdapat syor-syor yang dicada­ngkan oleh SPR tidak dipersetujui oleh beberapa pihak, termasuk daripada pihak kerajaan sendiri.

Sungguhpun begitu, kerajaan tidak mengganggu mahupun mempengaruhi SPR dalam me­laksanakan tugas-tugas mereka, malah kerajaan juga sentiasa menghormati keputusan yang telah dibuat oleh SPR, untuk kebaikan semua, demi kepentingan rakyat dan negara.

 

Tuan Yang Dipertua,

Berdasarkan Seksyen 9, Bahagian II, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan, laporan ini hendaklah dibentangkan bersama dengan draf suatu Perintah yang hendak dibuat di bawah Seksyen 12, Bahagian II, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan untuk menguatkuasakan dengan atau tanpa ubahsuaian syor-syor yang terkandung di dalam laporan itu. Draf Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri-Negeri Tanah Melayu) 2018 ada di hadapan Dewan yang mulia ini, sebagai Kertas Statut No. ST.28 Tahun 2018.

Di sudut ini, kerajaan telah mengkaji dengan teliti syor-syor dalam laporan tersebut dan tidak mencadangkan apa-apa perubahan dibuat kerana, kajian semula persempadanan ini telah dilaksanakan sepenuhnya, berlandaskan peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Tuan Yang Dipertua,

Secara kesimpulannya, pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan dan sekalung tahniah kepada pengerusi dan ahli-ahli SPR, setiausaha serta seluruh pegawai dan kakitangan SPR serta agensi-agensi lain yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung, khususnya Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Ketua-ketua Jabatan/Agensi berkaitan di semua negeri dan semua pihak yang telah menjalankan tanggungjawab serta amanah dengan penuh dedikasi, dalam menyiapkan laporan ini, untuk dibentangkan bagi kelulusan Dewan yang mulia ini.

 

Tuan Yang Dipertua,

 

Saya mohon mencadangkan.