Rang undang-undang itu dijangka dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong untuk bacaan kali kedua, esok berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat.

Sebelum ini, Pakatan Harapan pernah berjanji untuk menghapuskan beberapa undang-undang di negara ini yang dilaksanakan semasa kerajaan era Barisan Nasional (BN) sekiranya berjaya menguasai Putrajaya.

Pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 merupakan salah satu janji manifesto Pakatan Harapan dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Walaupun cadangan pemansuhan akta itu menerima pelbagai reaksi termasuk mahu ia dikekalkan bagi melindungi rakyat daripada menjadi mangsa berita tidak benar, namun Pakatan Harapan berpendirian tegas dalam perkara tersebut.

Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menyifatkan keputusan Pakatan Harapan untuk membentangkan rang undang-undang bagi memansuhkan akta itu sebagai hak kerajaan baharu dalam membuat dasar sendiri.

Sambil menghormati keputusan kerajaan itu, Ronald yang merupakan Ahli Parlimen Beluran juga berpandangan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 diperlukan bagi mena­ngani penularan berita palsu di negara ini.

“Ada pro dan kontra dalam isu ini. Kerajaan terdahulu membentangkan akta itu kerana mendapati ada perkara baik dalam rang undang-undang tersebut. Sebab itu, kerajaan BN berbuat demikian.

“Jadi, kalau kerajaan sekarang fikir begitu, itu adalah hak mereka,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) itu ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, sidang Dewan Rakyat kali ini turut memfokuskan beberapa lagi pembentangan rang undang-undang antaranya Rang Undang-Undang Perbekalan (Peruntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Rang undang-undang bagi membubarkan Suruhanjaya Pe­ngangkutan Awam Darat 2018 dan rang undang-undang untuk meminda Pengangkutan Awam 2018 juga dijangka dibentangkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook untuk bacaan kali pertama.

Sementara itu, isu rompakan wang bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM19.4 bilion juga bakal menghangatkan sidang Dewan Rakyat minggu ini.

Sudah tentu, dakwaan yang dibuat Guan Eng ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) minggu lalu, akan dibangkitkan oleh ahli Parlimen biarpun perkara itu masih dalam siasatan dan tiada bukti penyelewengan mengaitkan kerajaan terdahulu setakat ini.