Nolee Ashilin

Pengerusi Jawatan­kua­sa Pelancongan, Ke­senian dan Kebudayaan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohd. Radzi berkata, peningkatan itu dibantu usaha kerajaan terutama penambahbaikan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini yang membolehkan menampung sehingga 500,000 penumpang setahun.

Menurutnya, jumlah penerbangan juga turut meningkat pada tahun ini dengan syarikat penerbangan Malindo Air sebanyak 11 kali penerbangan seminggu, Firefly (14 kali seminggu) dan Tiger Airways (10 penerbangan seminggu).

“Berdasarkan data Malaysia Airport Sdn. Bhd. (MASB), rekod pengendalian penumpang LTSAS tahun lalu juga mencatatkan pe­ningkatan penumpang sebanyak 21.1 peratus iaitu 269,601 penum­pang berbanding pada 2015 de­ngan hanya 222,606 penumpang.

“Meskipun jumlah penumpang di LTSAS berada di bawah kapasiti, namun pergerakan penum­pang menunjukkan peningkatan dan satu petanda perkembangan positif untuk masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan menju­njung kasih titah perasmian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam sidang DUN di sini hari ini.

Tambah Nolee Ashilin, kerajaan negeri juga akan mempertingkatkan usaha promosi pelancongan terutama menarik pelancong asing melalui LTSAS.

“Kerajaan negeri yakin dengan kerjasama erat antara jabatan dan agensi yang terlibat serta usaha yang dilipat gandakan, kita akan dapat meningkatkan lagi mema­sukkan pelancong melalui ­LTSAS,” katanya.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin membidas tindakan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (PAN-Changkat Jering) memperlekehkan pengiktirafan Lonely Planet yang meletakkan Perak di tangga kesembilan terbaik di dunia dan Ipoh di tempat keenam terbaik di Asia untuk dilawati.