P. Kamalanathan

Timbalan Menteri Pendidi­kan, P. Kamalanathan berkata, tindakan itu akan dilaksanakan menerusi Kementerian Pendidikan Tinggi dan pihak kedutaan negara masing-masing untuk memeriksa latar belakang pelajar melalui maklumat yang terdapat dalam permohonan pengajian mereka.

“Ini termasuk pelajar asing yang sedang belajar di universiti awam dan swasta yang akan diperiksa melalui sistem Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS).

“Kementerian juga telah membangunkan mekanisme bersesuaian untuk mengambil tindakan awal bagi menangani sebarang ancaman keganasan membabitkan pelajar,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas berhubung langkah-langkah pencegahan bagi mengatasi ancaman keganasan selepas serangan yang berlaku di Paris pada malam Jumaat lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa memantau pergerakan pelajar sama ada di peringkat sekolah mahu pun pengajian tinggi bagi memastikan tidak ada dalam golongan tersebut terpengaruh dengan fahaman militan Negara Islam (IS).

“Kita sentiasa peka dengan apa yang berlaku di luar negara dan pemantauan ini memang dilaksanakan setiap masa,” katanya.