Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan berkenaan ditubuhkan ekoran siasatan terhadap insiden tersebut yang rumit dan memerlukan ramai tenaga kerja.

“Pasukan ini diketuai Pe­ngarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. dan menggabungkan personel daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, kontinjen Selangor serta beberapa daerah di kontinjen Selangor dengan operasi ini dikenali sebagai Op Seafield.

“Hingga kini sebanyak 34 orang dirakam percakapan, sejumlah besar keterangan fizikal berjaya dirampas di tempat kejadian iaitu 21 buah kereta dan enam buah motosikal yang dibakar; sebilah pisau dan dua bilah parang; tujuh pasang ka­sut dan tiga vest,” katanya ketika memberi penerangan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, tambah Muhyiddin, pihak polis menahan 30 individu terdiri daripada 24 orang Melayu, dua orang India Muslim, tiga orang India serta seorang Cina dan kesemua mereka kini dalam tahanan reman.

Sementara lima orang individu yang baru ditangkap semalam direman hari ini.

“Bagi siasatan yang menjurus kepada isu perpindahan kuil, pihak polis mengenal pasti beberapa individu memainkan peranan dalam kejadian tersebut dan mereka akan dipanggil menjalani proses siasatan selanjutnya. Motif kejadian telah dikenal pasti dan kertas siasatan masih dalam proses untuk dilengkapkan sepenuhnya,” ujarnya.

Menurut Muhyiddin, bagi siasatan ke atas kes pegawai bomba yang diserang, beberapa rakaman video diperoleh dan sedang dianalisis bagi mengenal pasti individu terlibat dalam kejadian tersebut.

“Pihak polis juga telah mengenal pasti anggota-anggota bomba yang berada di tempat kejadian untuk dirakamkan percakapan mereka,” katanya.