Saffek Salleh

Ketua Pengarah Jaringan Me­layu Malaysia (JMM) Perak, Saffek Salleh berkata, Himpunan Melayu Bangkit pada Sabtu ini kena pada masa dan tempatnya untuk mengulangi kebangkitan orang Melayu seperti mana ketika menentang penjajah British dahulu.

Menurutnya, tokoh-tokoh pe­­juang Melayu yang akan memberikan ucapan pada himpunan itu nanti akan menaikkan sema­ngat orang Melayu supaya sedar terhadap nasib dan masa depan mereka.

“Pasir Salak merupakan tempat penuh bersejarah, di sini bermulanya kebangkitan orang Melayu menentang penjajah. Saya percaya Himpunan Me­layu Bangkit akan mencetuskan kebangkitan baharu orang Melayu untuk mempertahankan hak-hak mereka,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, selain Pasir Salak, satu lagi tempat yang mempunyai sejarah berkaitan perjuangan orang Melayu ialah di Sungai Manik yang terkenal dengan penentangan rakyat terhadap pengganas komunis.

“Menentang penjajah British dan komunis merupakan dua perjuangan tulen orang Melayu yang tidak mahu dijajah dan kedua-dua sejarah besar peris­tiwa itu berlaku di sini. Jadi saya percaya semangat pejuang Me­layu dahulu dapat dijelmakan selepas perhimpunan pada Sabtu ini,” katanya.

Antara yang dijangka me­nyampaikan ucapan pada himpunan itu nanti ialah Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Rahman; Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam; Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin; Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarikh Khan; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Saffek berkata, himpunan berkenaan bukan atas nama politik tetapi demi kepentingan dan hak orang Melayu.

“Orang Melayu tanpa mengira fahaman politik patut datang ke himpunan berkenaan dan menyebarkan semangat yang meresap serap daripada pejuang-pejuang Melayu seterusnya disebarkan kepada rakan-rakan mereka.

“Jadikanlah himpunan ini sebagai detik kebangkitan semula untuk mempertahankan Islam, hak bangsa dan raja-raja di tanah air sendiri,” katanya.