Azalina Othman Said

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pindaan itu membolehkan salah seorang daripada pasangan terbabit memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan di mahkamah sivil sekiranya suami atau isteri memeluk agama Islam.

“Kita tidak mahu ada pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak menamatkan perkahwinan mereka. Islam adalah agama yang bertanggungjawab, takkanlah masuk Islam tetapi lari daripada memberi nafkah terhadap anak dan bekas isteri,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang berkenaan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau memberitahu, kerajaan juga mengambil maklum semua cadangan dan pandangan yang disuarakan semasa sesi perbahasan termasuk berhubung isu pertukaran agama anak.

Rang undang-undang bagi meminda Akta 164 itu diluluskan pada pukul 12.45 tengah malam selepas bacaan kali ketiga oleh Azalina di hadapan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.

Terdahulu, perbahasan rang undang-undang berkenaan yang bermula pada pukul 8.30 malam tadi sehingga awal pagi ini berlangsung dalam suasana panas berikutan sikap wakil-wakil pembangkang yang tidak berpuas hati dengan pengguguran Fasal 88A.

Fasal tersebut merujuk kepada peruntukan berhubung kedudukan agama anak bagi pasangan suami isteri sekiranya salah seorang daripada mereka memeluk agama Islam.

IKMAL HISHAM
IKMAL HISHAM

Sementara itu, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) ketika membahaskan rang undang-undang tersebut mencadangkan penubuhan satu badan khusus bagi menangani kes perceraian melibatkan mana-mana pasa­ngan suami atau isteri yang memeluk agama Islam.

Beliau berkata, badan itu seharusnya dianggotai oleh pakar-pakar agama, undang-undang dan kaunseling.

“Mereka akan memberi khid­mat nasihat kepada suami dan isteri yang menghadapi konflik apabila salah seorang daripada pasangan terbabit memeluk agama Islam,” jelasnya.

Ikmal Hisham memberitahu, inisiatif itu berupaya memberi penjelasan dan pemahaman kepada suami serta isteri berkenaan agar masa depan anak-anak mereka yang di bawah umur 21 tahun tidak terjejas.