ABDUL RAHMAN DAHLAN

Sebelum ini beberapa media turut membuat andaian tersebut dan ia semakin hebat apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini tidak menolak kemungkinan berhubung perkara itu.

Jika mengikut tradisi, Parlimen diramal akan dibubarkan sebelum pengumuman manifesto oleh Barisan Nasional (BN) .

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak juga dijadual me­lancar manifesto parti itu di Axiata Arena Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abdul Rahman menjelaskan, Najib bagaimanapun mempunyai hak untuk mengubah tradisi berkenaan.

Katanya, PRU-14 berkemungkinan memecah tradisi tersebut atau mungkin mengekalkannya.

“Pendapat saya kepada Reuters adalah tidak rasmi. Ini hanya ramalan dan andaian berdasarkan tradisi-tradisi terdahulu. Saya tidak pasti sama ada Perdana Menteri akan menggunapakai tradisi berkenaan atau tidak. Itu terpulang kepada keputusannya,” kata beliau.

Kabinet dijadual­kan bermesyuarat pa­da pukul 8.30 pagi Jumaat ini, sekali gus menguatkan spekulasi bahawa Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen pada hari yang sama iaitu sebelum atau selepas solat Jumaat.

Kebiasaannya, Perdana Menteri akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada pagi hari berkenaan untuk memohon perkenan pembubaran Parlimen sebelum mesyuarat Kabinet dijalankan.

Bagaimanapun ada juga sumber menyatakan Parlimen dijangka dibubarkan pada Isnin ini.