Sebelum mempertikaikan sama ada situasi itu adil atau tidak ter­hadap PKR dan sekutu-sekutunya, beliau sepatutnya bertanya kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) mengapa situasi tersebut boleh berlaku.

November lalu, kerajaan PKR Se­langor mengarahkan semua ja­batan, agensi dan anak-anak syarikatnya supaya menghentikan langganan akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian berkuat kuasa serta-merta.

Arahan itu tidak mengejutkan kerana sejak dari awal penubuhannya, PKR memang terkenal dengan reputasi tidak mesra terhadap media arus perdana, khususnya Utusan Malaysia.

Agaknya kepemimpinan parti itu terutamanya Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor tidak senang duduk dengan pendedahan yang disiarkan Utusan Malaysia tentang pelbagai kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan PKR Selangor.

Mereka cuma mahu laporan yang ‘molek-molek’ sahaja apabila melibatkan kepemimpinan PKR walaupun isu atau skandal yang disiarkan Utusan Malaysia berkaitan kepentingan rakyat, khususnya di Selangor.

Dahulu, di Ibu pejabat PKR pernah terpampang notis yang melarang Utusan Malaysia dan beberapa agensi media arus perdana yang lain daripada membuat liputan sidang akhbar di lokasi itu.

Malah, wartawan-wartawan Utusan Malaysia termasuk penulis sendiri pernah diusir oleh petugas PKR semasa membuat liputan sidang akhbar parti tersebut.

Hakikatnya, keluhan Wan Azizah itu mencetuskan paradoks atau percanggahan dengan sikap prejudis PKR dan kepemimpinannya terhadap media arus perdana.

Sebaik-baiknya, beliau selaku Presiden PKR menasihatkan anak-anak buahnya termasuk Rafizi Ramli (PKR-Pandan) supaya tidak melenting atau mudah ‘tersentap’ apabila wartawan media arus perdana bertanya soalan panas kepada mereka.