Ingatan itu disuarakan pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Low Yong San dengan merujuk kepada dua fakta sejarah.

Pertama kata beliau, sebelum kebanyakan kaum bukan Melayu memperoleh kewarganegaraan, malah sebelum penjajahan British di Tanah Melayu, satu sistem peme­rintahan moden yang berpaksikan kepada Raja-raja Melayu telah diasaskan di negeri-negeri Melayu di Malaya.

low yong san
LOW YONG SAN

Jelasnya, kerajaan kolonial Bri­tish juga terpaksa mendapatkan perkenan Raja-raja Melayu, sama ada secara sukarela atau paksaan, untuk me­legitimasikan penjajahan Bri­tish di Malaya.

Fakta kedua pula tambah beliau, sepanjang tempoh pemerintahan British, melainkan dalam tempoh singkat pelaksanaan Malayan Union, kerajaan kolonial British secara nyata telah mengiktiraf kedudukan sah Raja-raja Melayu.

“Selain itu, pemerintahan British juga telah­ mengiktiraf kedudukan istimewa kaum Melayu sebagai penduduk asal (bumiputera/pribumi) serta me­laksanakan sistem politik dan peme­rintahan yang bertunjangkan kaum Melayu,” katanya.

Tambah Yong San, fakta tersebut adalah sesuatu yang pahit untuk kaum bukan Melayu termasuk beliau sendiri, namun perlu difahami, diiktiraf dan dihormati.

Peringatan itu dimuat naik Yong San dalam laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini yang mengundang reaksi pelbagai daripada netizen de­ngan majoriti mereka memuji ke­tegasan beliau dalam isu ber­kenaan.

Sementara itu ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini, Yong San menegaskan, kaum bukan Melayu pada hakikatnya tidak mempunyai asas kukuh untuk menyokong serta menuntut apa yang terkandung di dalam ICERD.

Namun apa yang mengejutkan, malah mengecewakannya, tambah beliau, terdapat segelintir pemimpin Melayu sendiri yang menyokong dan mahukan ICERD diratifikasikan.

Ditanya bagaimana untuk menghentikan polemik isu itu da­ripada terus berlarutan yang dibimbangi boleh mencetuskan rasa kurang senang dalam masyarakat, Yong San berkata, Majlis Raja-raja mungkin boleh membuat kenyataan atau pendirian rasmi berhubung isu tersebut.