RONALD KIANDEE
RONALD KIANDEE 

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, penangguhan itu dipersetujui setelah perbincangan dilakukan dengan Peguam Negara, Tommy Thomas.

“Prosiding 1MDB tidak akan dibuat, walaupun ada usul di Parlimen untuk itu dan perkara tersebut telah kita maklumkan kepada yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof.

“Penangguhan itu dilakukan secara sine die (ditangguhkan tanpa tarikh),” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat PAC di bangunan Parlimen, hari ini.

Walau bagaimanapun Timbalan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, prosiding berkaitan Laporan Pengauditan 1MDB yang telah dipinda akan diteruskan seperti biasa.

Katanya, perkara itu telah dibincangkan dengan Tommy dalam pertemuan 2 November lalu dan mengesahkan PAC boleh meneruskan prosidingnya.

“Tommy mengatakan dengan jelas bahawa tidak ada masalah dan tidak ada isu berkenaan dengan subjudis dan juga prejudis. Jadi sebagai permulaan, PAC akan mengadakan prosiding pada 4, 5, dan 6 Disember ini berhubung isu itu,” katanya.

Jelas Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, dua saksi akan dipanggil iaitu bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan Ketua Audit Negara sekarang, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad untuk membantu siasatan. - UTUSAN ONLINE