HASAN ARIFIN

Menurut pengerusinya, Datuk Seri Hasan Arifin, dalam laporan PAC yang dibentangkan di Parlimen hari ini, pihaknya telah mengadakan mesyuarat prosi­ding susulan penemuan Jabatan Audit Negara dalam pembenta­ngan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2014 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen pada 6 April 2015.

Jelas beliau, dalam mesyuarat prosiding yang diadakan pada 15 Mac lalu, beberapa ahli PAC Parlimen telah membangkitkan isu-isu antaranya nilai keseluruhan projek belum dimuktamadkan, isu bangunan tidak diduduki sepenuhnya walaupun telah siap dibina serta bilik makmal yang terhad dan tidak boleh menempatkan peralatan latihan praktikal.

“Selain itu, isu-isu lain yang dibangkitkan adalah jumlah pe­ningkatan bagi pembayaran yuran perunding belum dimuktamadkan kerana nilai keseluruhan projek belum diselaraskan dan dokumen kontrak lewat disempurnakan selama 16 bulan selepas mengambil kira tempoh empat bulan yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Hasan berkata, PAC juga telah mendapatkan penjelasan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd. Arif Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Teo Chee Kong berhubung program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di negeri itu.

Kata beliau, langkah itu berikutan penemuan Jabatan Audit Negara dalam pembentangan LKAN Tahun 2015 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen pada 18 Mei 2016.

“Dalam mesyuarat prosiding yang diadakan pada 7 September tahun lalu, ahli-ahli PAC Parlimen telah membangkitkan isu Sistem Retikulasi projek BALB Pulau Gaya.

“PAC juga telah mengadakan lawatan kerja ke Projek BALB di Pulau Gaya pada 15 Januari tahun ini bagi melihat sendiri projek berkenaan,” katanya.