Suasana tersebut seolah-olah seiring dengan hasrat disuarakan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah semalam, untuk melihat UMNO yang mempunyai tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjadi pembangkang yang ‘mesra’ kerajaan negeri.

Ini berikutan kerjasama politik yang terjalin secara rasmi antara Pas dan UMNO di peringkat pusat yang diumumkan baru-baru ini.

Sementara itu, ADUN Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang kini menjadi wakil tunggal Pakatan Harapan (PH) pula dilihat turut mengambil pendekatan mesra apabila tidak membangkitkan sebarang isu atau soalan yang boleh ‘memanaskan’ mana-mana pihak.

Ditanya perkara itu, Mustapa berkata, sebagai orang lama, beliau perlu bertenang walaupun berdepan wakil rakyat parti lawan iaitu Pas dan UMNO secara berseorangan.

“Tidak ada masalah, macam biasa. Kita orang lama kena pandai relaks. Kalau tidak, nanti tekanan darah tinggi pula.

“Lagipun saya tidak pandai berbalah (bergaduh),” katanya ringkas kepada pemberita di luar dewan ketika sesi rehat hari kedua Sidang DUN Kelantan Penggal Kedua Kali Ke-14 hari ini.

Terdahulu dalam sesi soal jawab lisan, Mustapa menerusi soalan tambahan kepada Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hanifa Ahmad membangkitkan isu pembangunan Projek Pangkalan Perbekalan Tok Bali (TBSB) di Pasir Puteh.

Menurut beliau, lokasi itu perlu menjadi satu kawasan perindustrian baharu di negeri ini, bukannya terhad sebagai pelabuhan yang melibatkan industri petroleum dan gas semata-mata.

“Menurut kerajaan negeri, TBSB akan beroperasi sebagai pelabuhan industri lain seperti pengeksportan minyak sawit, penempatan kargo dan penumpang.

“Kalau benar mengikut kenyataan exco bahawa permohonan telah dibuat untuk menjadikan TBSB sebagai pelabuhan penuh, saya akan semak semula sebab apa yang saya tahu belum ada lagi permohonan dikemukakan. Kita sokonglah supaya pelabuhan ini diperbesar,” katanya. - UTUSAN ONLINE