Tegas anak sulung Presiden PKR itu, beliau pernah mengeluarkan gelaran itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan ucapan di perhimpunan Bersih, beberapa tahun lalu.

“Ia fakta daripada rekod saya. Saya cakap sebelum pilihan raya, cakap ketika demonstrasi Bersih 3.0 atau 4.0.

“Saya tidak faham kenapa bercakap dalam forum berlainan (tetapi) mengandungi mesej yang sama adalah sesuatu yang bermasalah,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Jumaat lalu, Nurul Izzah dalam wawancara dengan akhbar Singapura, The Straits Times menyifatkan Dr. Mahathir sebagai bekas diktator dan mengakui sukar bekerja dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Nurul Izzah turut meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH kerana gagal menunaikan janji dan menggerakkan agenda reformasi sepertimana sepatutnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mempersoalkan adakah menjadi kesalahan untuk beliau mengeluarkan kenyataan yang membina.

“Saya cakap mengenai reformasi negara bergerak perlahan, takkan tak boleh bagi sedikit komen membina.

“Kita sayang negara, kita kena dengar orang cakap,” katanya ketika diminta memberi pandangan sama ada kedudukan PH ketika ini terlalu teruk. - UTUSAN ONLINE