Ahli Dewan Negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah berkata, andaian tersebut dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk manifesto gabungan pembangkang itu yang tidak memberi penekanan terhadap visi negara.

"Tengok manifesto mereka (Pakatan Harapan) sudah cukup. Manifesto itu tidak menekankan kepada visi negara mahupun membawa Malaysia ke arah yang lebih baik. Banyak perkara yang bercanggah dan berkaitan kepentingan peribadi.

"Saya tanya apa tujuan mahu jatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak? Bukankah ia dilihat bersifat dendam dan marah," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau berpandangan, sebarang kesilapan sepatutnya diperbetulkan menerusi cara yang tidak menghancurkan masa depan negara.

"Kita sudah mendapat kesenangan, bukankah kita patut memberi kesenangan yang lebih banyak kepada cucu-cicit?" katanya. - UTUSAN ONLINE