Najib berkata, rang undang-undang itu iaitu Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017 dan Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016 amat penting dan dekat di hati beliau.

“Selama 20 hari, banyak perkara telah dibahaskan dan sejumlah 13 Rang Undang-Undang telah dibentangkan dan menerima kelulusan daripada Yang Berhormat sekalian.

“Saya ambil peluang ini untuk mengucapkan syabas kepada semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) kerana mendengar denyut nadi dan keperluan rakyat. Teruskan usaha.

“Alhamdulillah, sesi Parlimen ini amat produktif dan bermakna. Saya ucapkan syabas kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pembentangan dan kelulusan Rang Undang-undang di atas, daripada pegawai kerajaan sehinggalah rakan-rakan saya Yang Berhormat sekalian. Rakyat didahulukan,” katanya di laman blog Najib Razak hari ini.

Menyentuh mengenai Rang Undang-undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Najib berkata, ia akan dikuatkuasakan bagi memerangi jenayah penderaan seksual terhadap kanak-kanak di negara ini.

“Saya berasa sedih bercampur marah apabila membaca statistik bahawa lebih 12,000 kes penderaan seksual kanak-kanak telah dilaporkan.

“Kini mereka yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan dan akan dikenakan hukuman berat, berdasarkan jenis kesalahan yang disabit malah ada yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, masyarakat tidak boleh hanya memberi fokus kepada hukuman semata-mata tetapi masyarakat juga perlu dididik mengenai teknik pencegahan dan menjaga keselamatan diri.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, bagi Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017, kerajaan telah menjadikan hukuman penjara serta hukuman sebat sebagai hukuman mandatori bagi kesalahan menyebabkan kecederaan dan jenayah seksual seperti rogol, sumbang mahram, kesalahan merangsang kanak-kanak dan sebagainya.

“Pindaan ini lebih meluas dan merangkumi kesalahan seksual terhadap masyarakat secara umum, bukan sahaja kanak-kanak,” ujarnya.

Sementara itu, Najib berkata, Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016 yang telah diluluskan pula akan memberi peluang kedua kepada individu yang pernah diisytiharkan bankrap. - UTUSAN ONLINE