Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, usul yang dikemukan mengikut Peraturan Mesyuarat 18(1) Selasa lalu ditolak kerana rusuhan dan pertikaian tanah kuil itu masih dalam siasatan pihak berkuasa.

"Tuan Yang Dipertua telah menolak usul tergempar 18 (1) yang telah saya sebutkan pada 27 November lalu. Usul tersebut telah ditolak dalam kamar atas nasihat Datuk Mohamad Arif.

"Beliau memaklumkan bahawa memandangkan siasatan berkenaan dengan isu kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di Seafield USJ sedang berlangsung seperti yang kita dengar daripada kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta Menteri Dalam Negeri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), maka itulah antara sebab-sebab usul ini telah ditolak," katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.

Sehubungan itu Ahmad Fahmi berkata, pihaknya menerima keputusan itu dengan terbuka dan berharap siasatan yangsedang dijalankan pihak berkuasa berjalan dengan baik.

Selasa lalu, Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menghantar usul meminta  Mohamad Ariff menangguhkan perbahasan bagi membolehkan mereka berbincang mengenai isu Kuil Sri Maha Mariamman.

Ahmad Fahmi yang mewakili kumpulan kerajaan dalam menghantar usul tersebut berkata, kedua-dua belah pihak mahu membahaskan isu kuil tersebut kerana ia disifatkan mempunyai berkepentingan awam. - UTUSAN ONLINE.