Mustapa Kamal Mohd. Yusoff

Sehubungan itu, Se­nator Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff meminta kajian semula segera dilakukan bagi menambah baik modul kursus perkahwinan kerana purata perceraian dalam kalangan pasangan Islam di Malaysia ketika ini amat membimbangkan iaitu 12 kes sejam.

Menurut Mustapa, kursus perkahwinan yang dianjurkan jabatan agama Islam negeri bukan sahaja dilihat terlalu singkat, malah pengisiannya juga tidak berupaya memberi kefahaman kepada pasangan suami isteri sehingga terjadinya kes perceraian berpunca daripada isu-isu remeh.

“Ini membimbangkan kerana kadar penceraian pasangan Islam terus memperlihatkan pola pening­katan dan data terbaharu menunjukkan sekitar 267 kes perceraian berlaku setiap hari atau purata 12 kes setiap jam. Pastinya sesuatu yang drastik perlu dilakukan.

“Paling utama saya melihat kursus perkahwinan perlu dikaji semula kerana hari ini perceraian berlaku atas isu-isu remeh seperti hanya kerana tidak pandai membuat teh tarik,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pentadbiran Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2016 di Dewan Negara hari ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini memaklumkan sebanyak 48,077 kes perceraian pasangan Islam direkodkan dari Januari hing­ga 10 Julai 2016 dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 7,731 kes diikuti Sabah (6,638) dan Johor (4,700).

Dalam perkembang­an berasingan, Mustapa Kamal berkata, pi­hak yang cuba mencari laba peribadi dengan mempolitikkan isu Rang­ Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 perlu segera menghentikan perbuatan mereka kerana RUU 355 adalah untuk orang Islam.