Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, pemimpin-pemimpin PH yang memikul tanggungjawab sebagai menteri perlu menghadiri mesyuarat Kabinet yang dijadualkan berlangsung antara pukul 2.30 petang hingga 5 petang.

Menurut beliau, mesyuarat Kabinet hanya akan diadakan setiap hari Jumaat mulai minggu depan.

“Banyak dokumen sulit yang tak boleh dipindahkan ke Parlimen, mesti habiskan di Putrajaya dan mungkin ada keperluan lagi minggu ini untuk mesyuarat itu di sana.

“Saya rasa tiada isu sebab Kabinet adalah untuk negara dan Parlimen sebahagian daripada pentadbiran negara. Jadi, menteri boleh pergi ke Kabinet dan timbalan menteri masih boleh bersidang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Pada 19 Julai lalu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, mesyuarat Kabinet diubah pada Jumaat bermula minggu ini namun akan kekal pada hari yang sama iaitu Rabu jika tiada persidangan. - UTUSAN ONLINE