Wong Chen (PH-Subang) ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 berkata, rizab tunai Petronas pada tahun lalu berada pada paras RM128 bilion dan keuntu­ngan selepas cukai RM46 bilion.

“Perkara ini merunsingkan saya sebab kita semua faham bahawa negara kita, kemungkinan besar tahun hadapan akan tersepit akibat perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

WONG CHEN
WONG CHEN 

“Kalau kita guna semua wang itu sekarang dengan kekuatan kewangan RM54 bilion, kita akan kehabisan ‘peluru kewa­ngan’ apabila krisis benar-benar melanda,” katanya seperti dipetik daripada penyata rasmi Dewan Rakyat, hari ini.

Petronas akan membayar tambahan RM30 bilion dalam bentuk dividen khas di bawah Belanjawan 2019.

Ini menjadikan komitmen dividen keseluruhan syarikat minyak dan gas negara itu kepada RM54 bilion bagi membantu kerajaan membayar tunggakan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan sebanyak RM37 bi­lion.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, Wong Chen meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyemak dengan teliti senarai permohonan bayaran balik GST kerana tidak semua pemohon mengemukakan data yang tepat.

Katanya, ramai yang membuat permohonan pembayaran balik dengan angka yang tidak tepat, justeru semakan perlu dibuat terlebih dahulu.

“Terus terang cakap menipu, jadi kena tentukan dahulu. Kalau jumlah lebih rendah, kerajaan tidak perlu menggunakan semua RM54 bilion itu dan boleh disimpan untuk tujuan kecemasan,” katanya.