Pandikar mengumumkan perkara itu dengan merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 94, Peraturan-Peraturan Majlis Dewan Rakyat yang memperuntukkan kuasa kepada Yang Dipertua dewan memberi kebenaran kepada wakil media hadir ke Parlimen untuk membuat liputan.

Pandikar menjelaskan tindakan itu diambil selepas beliau mengambil kira aduan diterima daripada Ahli-ahli Parlimen yang menzahirkan rasa kurang selesa dengan tindakan pihak media menyerbu mereka untuk mendapatkan komen berkenaan sesuatu isu.

“Sehubungan itu, saya telah membuat ketetapan bahawa wakil media yang hadir ke Parlimen hendaklah membuat liputan sesi mesyuarat Dewan Rakyat atau sidang akhbar Ahli Parlimen hanya di tempat yang telah disediakan iaitu di pusat media berkuat kuasa serta-merta.

“Jika wakil itu melanggar peraturan tersebut, maka kebenaran itu harus ditarik balik. Jadi sesiapa wakil media yang langgar peraturan ini, maka kebenaran mereka itu saya akan tarik balik,” katanya dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini. - UTUSAN ONLINE