Kementerian Kewangan dalam jawapan bertulis yang diedarkan di Dewan Rakyat hari ini menyebut, ini terbukti dengan penerimaan berterusan aliran masuk pelaburan langsung asing bersih ke dalam negara sebanyak RM39.2 bilion pada 2017.

"Rizab antarabangsa juga terus kukuh apabila mencatat US$103.6 bilion atau RM419.1 bilion pada 15 Feb, 2018," kata kementerian itu bagi menjawab soalan lisan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang bertanya mengenai pencapaian Malaysia yang mengagumkan masyarakat antarabangsa.

Kementerian itu berkata, kedudukan daya saing negara, seperti yang dilaporkan oleh Laporan Daya Saing Global 2017-2018, Forum Ekonomi Dunia (WEF), bertambah baik daripada tangga ke-25 ke tangga ke-23 daripada 137 negara.

Malaysia juga berjaya memperbaiki kedudukan ke tangga ke-59 berbanding tangga ke-65 dalam Indeks Pembangunan Manusia 2016 serta meningkatkan kedudukan negara dalam laporan Ranking Kebolehunian Global 2017 kepada tangga ke-70 berbanding tangga ke-73 pada 2016.

Dengan mengambil kira asas-asas ekonomi yang kukuh serta unjuran pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia yang lebih baik, Kementerian Kewangan berkata, pertumbuhan ekonomi negara dijangka kekal mapan antara lima hingga 5.5 peratus pada 2018.

"Kerajaan yakin menerusi pelbagai inisiatif dan usaha yang berterusan, pertumbuhan ekonomi negara akan terus mapan. Kerajaan akan terus mempergiat usaha untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan menggandakan ekonomi kepada RM2 trilion pada 2025.

"Kerajaan telah melancarkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk memastikan Malaysia berada antara 20 negara teratas di dunia dari segi pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi menjelang 2050," katanya. - BERNAMA