Kedua-dua mereka me­ngangkat sumpah di hadapan Yang diPertua Dewan Rak­yat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pandikar Amin ber­kata, kedua-dua mereka yang mengangkat sumpah hari ini susulan kekosongan kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar selepas pe­nyandang kedua-dua kerusi itu maut dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

“Saya berharap Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar dapat berganding bahu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan dapat berkhidmat dengan cemerlang,” kata­nya di Dewan Rakyat hari ini.

Mastura berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Kangsar setelah menewaskan tiga calon lain dengan majo­riti 6,969 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, 18 Jun lalu.

Mastura, 55, yang juga isteri kepada penyandang kerusi, Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Wan Ahmad memperoleh 12,653 undi menewaskan calon Pas, Dr. Najihatussalehah Ahmad yang mendapat 5,684 undi; calon PAN, Dr. Ahmad Termizi Ramli (4,883) dan calon Bebas, Izzat Bukhari Ismail Bukhari (54).

Budiman pula menang de­ngan meraih undi majoriti sebanyak 9,191 pada PRK Parlimen Sungai Besar selepas me­raih undi sebanyak 16,800; calon PAN, Azhar Abdul Shukur meraih 7,609 undi dan calon Pas, Dr. Abdul Rani Osman mendapat 6,902 undi.

Sementara itu, Mastura mengakui beliau dapat merasakan ‘kehadiran’ Allahyarham suaminya, ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang baharu.

“Walaupun saya duduk di kerusi yang berlainan, tidak sama dengan yang diduduki Allahyarham dulu, tetapi ‘rohnya’ sama,” katanya.

Mastura juga mengakui banyak yang perlu dipelajarinya selaku wakil rakyat paling ‘junior’ di dalam Dewan Rakyat.

“Saya telah mengikut persidangan Dewan Rakyat untuk beberapa tahun dan diharapkan ia akan membantu tugas-tugas saya di Parlimen,” ujar beliau.