ISMAIL SABRI YAAKOB

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam tempoh yang sama, seba­nyak RM452.7 juta pinjaman perniagaan diberikan kepada 4,334 peminjam.

Beliau berkata, bagi bayaran balik yang dilaksanakan mengikut jadual, sebanyak RM253.3 juta diterima daripada pinjaman pelajaran manakala RM558.7 juta lagi daripada pinjaman perniagaan.

“Pada tahun lalu, sebanyak RM2.3 bi­lion pinjaman pelajaran diluluskan dan kutipan bayaran balik yang telah diperoleh sebanyak RM249.7 juta.

“Bagi pinjaman perniagaan pula, sebanyak RM708.3 juta diluluskan pada tahun lalu kepada 8,962 peminjam dan kutipan bayaran balik bagi pinjaman itu ialah sebanyak RM662.3 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 dalam sida­ng Dewan Negara hari ini.

Ismail Sabri berkata, ba­gi memastikan pinjaman pe­lajaran dan perniagaan dikutip mengikut jadual, Mara mengadakan hari bertemu pelanggan, membuat pertemuan dengan peminjam selain sesi penera­ngan bayaran balik sebelum pelajar bertolak ke luar negara dan pada hari konvokesyen pelajar.

Dalam perkembangan berkaitan, kata beliau, pada masa ini Mara sedang menjalankan kajian terperinci untuk menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar bagi memberikan keutamaan kepada pelajar miskin bandar dan luar bandar mengikuti pengajian di MRSM sedia ada.

Katanya, langkah itu di­buat sejajar dengan polisi pada tahun depan untuk mengutamakan golongan itu sekali gus mengurangkan ruang orang berkemampuan di MRSM biasa dan sebaliknya mereka diberi peluang untuk ditempatkan di MRSM berbayar.

Sementara itu, menjawab celahan Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin berhubung Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas Permata, Ismail Sabri menjelaskan, pihaknya turut mengadakan perbincangan bagi mewujudkan lebih banyak Kemas Permata kerana sistem pembelajaran yang diakui sangat baik.