Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ada beberapa pihak yang sengaja menzahirkan keresahan bahawa Mara kini telah dipecahkan dan perkara itu merupakan satu niat jahat yang cuba ditimbulkan untuk menimbulkan keresahan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Mara yang ditubuhkan dengan objektif utama untuk membangunkan usahawan khususnya golongan bumiputera akan terus dipertahankan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Jika kita lihat Rang Undang-undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 yang telah dibentangkan dan telah dibahaskan di peringkat dasar semalam adalah jelas perbelanjaan mengurus dan pembangunan Mara adalah di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

"Secara pokoknya Mara tidak dipecahkan atau diracikkan seperti Yang Berhormat Pontian kata, sekarang Mara di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi," katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini. - UTUSAN ONLINE