MUSTAPA MOHAMED

Langkah itu diambil meman­dangkan situasi ketidaktentuan terhadap TPPA berikutan kemenangan Donald Trump dalam pi­lihan raya Presiden Amerika Sya­rikat (AS) yang sebelum ini jelas menentang idea perjanjian tersebut.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menjelaskan, berdasarkan situasi semasa, perjanjian itu dilihat seperti tidak mempunyai banyak harapan untuk menjadi realiti.

Katanya, hal itu kerana perjanjian tersebut menyatakan TPPA akan menjadi realiti sekiranya enam negara menyumbang kepada 85 peratus Keluaran Dalam Negara (GDP) daripada 12 negara terlibat.

“Dalam TPPA, negara terbesar adalah AS dengan 60 peratus sumbangan daripada aspek itu manakala negara lain hanya meliputi 40 peratus. Sekiranya AS yang menjadi penyumbang terbesar tidak bersetuju, maka TPPA tidak boleh dilaksanakan.

“Pendirian kita adalah terbuka kepada perjanjian perdagangan bebas, walaupun kita sedar bahawa kemungkinan untuk TPPA dibawa kepada Kongres tidak akan berlaku. Walau bagaimanapun, apa yang akan berlaku selepas 20 Januari kita tidak tahu kerana ada pihak memberitahu Trump telah me­ngubah pendirian berhubung beberapa perkara, jadi kita tunggu dan lihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa memberitahu, isu mengenai TPPA akan dibawa ke Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Katanya, meskipun perkara itu bukan agenda yang akan dibincangkan dalam APEC, tetapi memandangkan 12 negara terlibat dengan TPPA juga merupakan antara 21 ahli pertubuhan itu, maka satu perbincangan akan diadakan dalam kalangan pihak terbabit.

“Kita telah berunding selama lima tahun dan idea ini timbul lapan tahun lalu dengan banyak siri perundingan dilaksanakan termasuk membawanya ke dalam Dewan Rakyat sebelum diluluskan untuk kita tandatangani TPPA. Sudah banyak yang kita labur dari segi masa dan kewangan.

“Kita yakin kalau semua ini teratur, kita akan dapat faedah daripada TPPA. Sudah lima tahun berunding, tidak perlu terburu-buru buat keputusan sama ada selepas APEC atau hari kemudiannya, sabar, kita akan buat keputusan untuk kebaikan rak- yat,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Mustapa secara sinis menzahirkan ‘kegembiraan’ apabila melihat ahli-ahli Parlimen yang sebelum ini kuat menentang TPPA, dilihat sudah mula menyokong dan menyatakan kekesalan sekiranya TPPA tidak dapat direalisasikan.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) menyatakan, keadaan ekonomi negara dibimbangi berdepan impak negatif TPPA tidak diteruskan berikutan keputusan mengejut pemilihan AS minggu lalu.

Beliau menjelaskan bahawa sekiranya diteruskan, perjanjian tersebut mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sehingga RM891.37 bilion dalam tempoh 2018 hingga 2027.

“Kemenangan Trump dalam pilihan raya Presiden baru-baru ini memang tidak dijangkakan. Merujuk kepada TPPA, apakah status ter­utama sekali dengan pemakluman terkini tentang da­sar baharu khususnya melibatkan negara-negara terlibat dengan perjanjian itu.

“Saya sedia maklum bahawa sekiranya perjanjian tersebut ti­dak diteruskan ia akan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara. Tanpa pe­nyertaan kita dalam TPPA, KDNK negara dijangka akan merosot sehingga RM67.59 ­bilion dan menjejaskan jumlah perolehan serta peluang pekerjaan yang disediakan menerusi perjanjian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam Persidangan Dewan Rakyat hari ini.