Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia masih mempunyai pejabat di Pyongyang, ibu negara Korea Utara, tetapi tiada pegawai dan duta yang ditempatkan di sana.

"Kita belum buat keputusan mahu menghantar balik duta dan pegawai ke sana.

"Kita tidak memutuskan hubungan dengan Korea Utara, tetapi kita anggap sebagai wakil (kedutaan) tidak aktif," katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat jawatankuasa Kementerian Luar di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin turut menjelaskan situasi politik di Semenanjung Korea juga menjadi pertimbangan kerajaan sama ada mahu menghantar semula wakil Malaysia ke Korea Utara atau tidak.

Hubungan Malaysia dan Korea Utara tegang sejak Februari 2017 ekoran pembunuhan abang kepada pemimpin negara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - UTUSAN ONLINE