MUSTAPA MOHAMED

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, proses ratifikasi yang membabitkan sehingga 18 pindaan itu tetap perlu dilakukan kerana langkah itu bertujuan menambah baik undang-undang sedia ada negara.

Katanya, seperti juga Malaysia, Jepun yang turut terlibat dalam TPPA telah melengkapkan proses ratifikasi perundangannya pada 9 Disember lalu walaupun status perjanjian tersebut masih menjadi tanya kerana Trump dalam kempennya mahu menarik AS keluar daripada TPPA.

“Bagi Malaysia pro­ses ratifikasi yang melibatkan 18 pindaan akan diteruskan. Sebahagian besar pindaan adalah untuk menambah baik undang-undang sedia ada walaupun Malaysia tidak terlibat dalam perjanjian TPPA.

“Walau bagaimanapun, pindaan yang mempunyai kaitan langsung dengan TPPA pelaksanaannya adalah bergantung kepada pelaksanaan TPPA,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah di Dewan Negara hari ini.

Menyentuh mengenai langkah Malaysia jika Trump mengotakan janji-janji dalam kempennya, Mustapa mengulangi penjelasan bahawa adalah terlalu awal untuk mana-mana negara menentukan nasib TPPA selagi mana tiada tindakan rasmi dilakukan Washington.