Mustapa Mohamed

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara juga akan meningkatkan integrasi perdagangan di antara Malaysia dengan negara-negara ASEAN bagi menggalakkan hubungan pelaburan dan perdagangan.

Katanya, sebagai sebuah negara perdagangan yang besar di dunia, Malaysia mengamalkan dasar terbuka kepada perjanjian perdagangan bebas (FTA).

“Oleh sebab itu, kita mengambil sikap terbuka kepada pelbagai kemungkinan termasuk dengan memberi fokus untuk memuktamadkan rundingan RCEP yang membabitkan 16 negara termasuk negara anggota ASEAN, China, Korea Selatan, Jepun, India, Australia dan New Zealand.

“Buat masa ini, kita juga sudah mempunyai sebanyak 13 FTA dan kita kini sedang dalam rundingan untuk mengadakan FTA dengan Iran dan Sri Lanka,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Seri Khairudin Samad yang mahu kerajaan menyatakan secara jelas hala tuju negara dalam sektor perdagangan antarabangsa selepas Amerika Syarikat (AS) mengambil keputusan untuk menarik diri daripada TPPA.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bertindak menandatangani Arahan Eksekutif penarikan diri AS daripada TPPA dengan alasan perjanjian tersebut boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan di AS serta pengaliran keluar dana ke negara-negara TPPA yang lain.

TPPA yang diterajui AS dimeterai Malaysia dan 11 negara anggota lainnya pada 4 Februari tahun lalu tidak boleh dilaksanakan tanpa penyertaan AS yang mewakili kira-kira 60 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) daripada 12 negara anggota berkenaan.