Perdana Menteri menarik perhatian bahawa pada dasarnya peralihan politik yang berlaku susulan pilihan raya umum 9 Mei lepas mencerminkan harapan rak­yat ke arah ketelusan, akaun­tabiliti fiskal dan reformasi sosio-ekonomi lebih meluas.

Reformasi ini, katanya, perlu sekiranya Malaysia berhasrat untuk pulih, membangun semu­la dan muncul kembali sebagai negara yang bangga de­ngan pencapaian dan kemampuan untuk bersaing pada pe­ringkat paling tinggi.

“Langkah reformasi ini termasuk menambah baik tadbir urus, mempercepat inovasi, melonjak produktiviti dan me­ningkatkan industri dalam rantaian nilai lebih tinggi,” kata Dr. Mahathir dalam prakata laporan Kajian Separuh Penggal Ranca­ngan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang dikeluarkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi hari ini.

Beliau berkata, usaha itu juga meliputi langkah mempertingkat kesejahteraan hidup rakyat terutama dalam kalangan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan mencapai pertumbuhan inklusif.

Menurut Dr. Mahathir, Kajian Separuh Penggal RMK-11 itu dibuat bertujuan mereformasi dasar sedia ada dan menggaris sasaran sosioekonomi yang disemak semula bagi tempoh 2018-2020 dengan mengambil kira aspirasi kerajaan baharu, cabaran ekonomi dan trend global semasa. – BERNAMA

Beliau berkata, usaha akan ditumpu bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di samping memastikan manfaat lebih besar kepada semua lapisan masyarakat.

“Dalam hubungan ini, prinsip tadbir urus yang baik, institusi yang mantap serta integriti dan akauntabiliti yang lebih tinggi akan diperkukuh meliputi seluruh pentadbiran kerajaan baharu bagi mencegah rasuah, ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa,” kata Perdana Menteri.

Dr. Mahathir seterusnya berkata, Malaysia Baharu perlu mempamer kekuatan, keyakinan dan harapan, dan beliau yakin dengan mandat yang diberi rakyat, negara akan melangkah ke hadapan dengan yakin dan berani.

“Harus diingat satu ketika dahulu kita pernah digelar sebagai Harimau Asia. Untuk bangkit semula kita perlu menjajar semula tumpuan dan menyesuaikan strategi kita,” katanya. – BERNAMA