Azalina Othman Said

Beliau berkata kerajaan telah menubuhkan beberapa jawatankuasa dalam pelbagai jabatan kerajaan termasuk agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mengkaji peruntukan di dalam Konvensyen Budapest dan menentukan dasar, perundangan, keperluan teknikal dan pentadbiran yang perlu dipatuhi.

"Kajian kami dalam kerangka perundangan Malaysia telah mengenal pasti bahawa Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Saling Membantu Dalam Perihal Jenayah 2002 (MACMA) perlu dipinda bagi memenuhi keperluan perundangan di bawah Konvensyen Budapest, kata beliau pada Acara Tahunan Jabatan Peguam Negara Brunei,Malaysia dan Singapura 2017, kali Kelapan, di sini hari ini.

Konvensyen Budapest mengenai jenayah siber digubal oleh Majlis Eropah dan berkuat kuasa pada Julai 2004.

Azalina berkata Malaysia menerima Konvensyen Budapest, perjanjian pertama pelbagai pihak dalam menangani jenayah yang dilakukan menerusi internet dan rangkaian komputer, terutamanya dalam penipuan berkaitan komputer serta pornografi kanak-kanak.

Sementara itu, Azalina berkata negara anggota ASEAN mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk bekerjasama dalam membanteras keganasan yang berleluasa di rantau ini.

Beliau berkata acara ini boleh menjadi sebuah forum berguna bagi berkongsi pandangan terhadap keberkesanan kerangka perundangan antarabangsa sedia ada dalam memerangi jenayah rentas sempadan termasuk keganasan dengan menggunakan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Terhadap Jenayah Transnasional dan protokol berkaitannya.

Dalam forum tiga hari yang bermula semalam, Azalina berkata adalah penting ketiga-tiga peguam negara terus membina hubungan yang dipupuk sejak bertahun-tahun bagi mengembangkan agenda yang lebih besar ketiga-tiga negara.

"Ia adalah forum penting untuk bertukar pengetahuan dalam undang-undang dan amalan terutamanya yang mana negara kita mempunyai kepentingan. Ia juga menyediakan satu platform untuk interaksi dan melakukan jalinan antara jabatan peguam negara pada tahap kepakaran dan pengalaman berbeza," katanya.

Beliau berkata acara itu menyediakan peluang yang baik kepada tiga negara untuk membincangkan isu-isu berbangkit dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Sementara itu, Peguam Negara Malaysia Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata perdagangan antarabangsa, media sosial dan perundangan antara tiga perkara dikenal pasti untujk perbincangan pada forum ini.

"Pemilihan topik ini adalah tepat pada masanya dan relevan. Lagi banyak kita saling berkait dalam ekonomi, interaksi sosial dan politik, lebih banyak lagi risikonya.

Isu yang kita hadapi hari ini merentasi sempadan dan memberi kesan kepada setiap orang daripada kita," katanya.

Sejumlah 194 peserta menghadiri forum ini. Turut hadir ialah Peguam Negara Singapura Lucien Wong dan Peguam Negara Brunei Datin Seri Hayati Mohd Salleh. - BERNAMA