Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengakui keputusan AS itu akan memberi impak kepada sektor pengeluaran panel solar Malaysia serta beberapa negara lain dengan turut menyuarakan kerisauan yang sama.

Jelasnya, beliau sendiri telah mengadakan perjumpaan dengan pemain-pemain sektor itu di Malaysia yang meminta kerajaan mengambil tindakan susulan keputusan AS itu.

"Perang perdagangan membimbangkan kita dan beberapa negara telah memberi reaksi negatif berhubung tindakan AS ini termasuklah China dan Kesatuan Eropah (EU)," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Mustapa menyatakan, kerajaan tetap mengambil berat perkembangan Proton Holdings Berhad (Proton) meskipun telah menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat automotif China, Geely.

Katanya, hal itu kerana Proton mempunyai kira-kira 10,000 pekerja selain 50,000 pekerjaan lagi yang bersangkut paut dengan syarikat berkenaan. - UTUSAN ONLINE