Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah tersebut bagi memastikan sama ada mahasiswa yang terlibat itu masih menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) atau dakwaan tersebut menggunakan rekod lama.

“Aduan yang dilakukan SPRM itu perlu diteliti terlebih dahulu. Kita tidak mahu berlaku sebarang kekeliruan sebab tempoh pengajian di IPT kebiasaannya hanya melibatkan antara tiga hingga empat tahun.

“Mungkin dakwaan itu berdasarkan aduan lama,” katanya di lobi Parlimen di sini hari ini.

SPRM baru-baru ini mengesahkan wujud perlakuan rasuah membabitkan pelajar IPT menawarkan habuan wang kepada pensyarah untuk menaikkan gred pencapaian akademik dan lulus peperiksaan.

Dalam perkembangan lain, Idris menjelaskan, beliau akan mengesahkan dengan Majlis Ama­nah Rakyat (Mara) terlebih dahulu mengenai dakwaan agensi tersebut tidak lagi menyediakan biasiswa bagi program doktor falsafah (PhD).

Walau bagaimanapun, jelas be­liau, pelajar yang ingin melan­jutkan pengajian ke peringkat PhD boleh memohon pelbagai skim penyelidikan yang disediakan di bawah kementerian, selain MyBrain15.

“Setahu saya sebelum ini Mara memang menyediakan biasiswa untuk PhD, sekarang saya tidak pasti, jadi kena periksa terlebih dahulu.

“Selain itu, ramai yang berhasrat ingin menyambung pengajian ke peringkat PhD tetapi hanya memohon biasiswa MyBrain15, sedang­kan di bawah kementerian terdapat pelbagai skim penyelidikan untuk tujuan yang sama,” katanya.