Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu mengakui prestasi dividen yang diumumkan bagi tahun 2015 hingga 2017 telah menerima kesan akibat ketidaktentuan pasaran saham.

Katanya, pengisytiharan dividen bagi sesuatu tahun berkait rapat dengan keuntungan diperoleh LTAT dalam tahun tersebut, yang sebahagian besarnya melalui sumber pendapatan dividen daripada syarikat-syarikat pelaburan dan aktiviti jualan saham.

“Lembaga Pengarah dan pengurusan LTAT akan berusaha mengenal pasti pelaburan baharu yang menguntungkan dan melakukan semakan dari masa ke semasa bagi memastikan pelaburan itu selamat dan memberi pulangan sebaiknya,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahmad Amzad Mohamed (Pas-Kuala Terengganu) yang bertanyakan faktor-faktor penurunan keuntungan bersih LTAT dan kejatuhan dividen pencarum LTAT.

Pada masa sama katanya, pemberian bonus melalui unit amanah saham akan dikekalkan kerana dilihat sebagai pelaburan jangka panjang untuk kepentingan para pencarum. - UTUSAN ONLINE