Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S.K Devamany berkata, sebahagian besar peningkatan itu membabitkan laluan Kelana Jaya yang meliputi laluan Putra Height ke Gombak iaitu sebanyak 15,404 pengguna setiap hari.

"Bagi laluan Ampang yang meliputi laluan Putra Heights, Sentul Timur dan Ampang pula peningkatan purata jumlah pengguna harian yang dicatatkan adalah sebanyak 2,582," katanya.

Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) yang ingin tahu purata jumlah penumpang menggunakan LRT laluan Kelana Jaya dan laluan Ampang setiap hari dari 2011 hingga 2016 dan peningkatan yang dicatatkan sejak pembukaan penuh stesen baharu sejak Jun 2016.

Devamany berkata, secara purata, sebanyak 260,918 pengguna harian LRT bagi laluan Kelana Jaya direkodkan mulai 2011 sehingga Ogos lalu dan sejumlah 204,810 pengguna direkodkan bagi laluan Ampang.

"Purata jumlah pengguna harian ini tidak termasuk peningkatan penumpang yang direkodkan selepas pembukaan Projek Penyambungan Jajaran," katanya.

Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan pembukaan penuh Projek Penyambungan Jajaran LRT, yang melibatkan tambahan jajaran sepanjang 35.1 km menghubungkan kedua-dua laluan LRT Kelana Jaya dan Ampang/Sri Petaling. - BERNAMA