Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, menurut laporan agensi antarabangsa, Reuters, peningkatan tersebut menjadi faktor yang menggalakkan penggunaan media sosial dalam kalangan pengguna jalur lebar.

“Antara aplikasi media sosial dan aplikasi pesanan yang digunakan adalah Facebook sebanyak 58 peratus, WhatsApp (51 peratus), YouTube (26 peratus) manakala WeChat dan Instragram masing-masing mencapai 13 peratus.

“Kajian Pengguna Internet 2017 yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) pula mendapati peningkatan kepada 24.5 juta pengguna jalur lebar tahun lalu, berbanding 24.1 juta pada 2015,” katanya ketika menjawab soalan daripada Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) mengenai jumlah pengguna aplikasi media sosial bagi tahun 2008 hingga tahun ini semasa sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menambah, sebanyak 89.3 peratus daripada jumlah keseluruhan pengguna jalur lebar tahun lalu turut melayari media sosial. - UTUSAN ONLINE