Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, berdasarkan sistem sedia ada, bagi setiap RM1 premium insurans yang dibayar oleh pengguna, syarikat insu­rans akan membayar sebanyak RM1.02 iaitu nisbah tuntutan melebihi 100 peratus.

Apa yang berlaku, jelas Johari, sekiranya syarikat insurans mengalami kerugian kerana nisbah tuntutan yang tinggi, maka mereka terpaksa meningkatkan premium.

“Disebabkan kita mengamal­kan premium mengikut tarif tetap, maka pengguna yang tidak pernah mengalami kemala­ngan dalam tempoh lima tahun sepatutnya mendapat premium rendah bukannya berdasarkan nisbah tuntutan sya­rikat-syarikat insurans.

“Ini sebab libe­ralisasi insurans di­laksanakan, supaya pengguna yang tidak berprofil tinggi, mereka akan mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soal­an Dr. Izani Husin (Pas-Pengkalan Chepa) mengenai sama ada libe­ralisasi tarif insurans motor yang baharu mampu melindu­ngi dan memberi manfaat kepada pengguna pada sesi perta­nyaan lisan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Johari mene­rangkan liberalisasi berkenaan memberi banyak manfaat secara berperingkat kepada pengguna.
Katanya, proses itu menentukan kadar premium yang lebih adil dapat dilaksanakan berdasarkan perlindungan diperlukan pengguna.

Selain itu, beliau memberitahu, li­beralisasi tersebut dapat menyelaras­kan subsidi bersilang yang ketara pada masa ini dengan sesetengah pe­megang polisi membayar premium lebih mahal daripada sepatut­nya.

“Proses ini juga dapat menggalakkan amalan pengurusan risiko yang lebih baik dalam kala­ngan pengeluar kenderaan dan pengguna termasuk memupuk kesedaran yang lebih mendalam tentang keselamatan jalan raya.

“Liberalisasi itu juga dapat menyediakan perkhidmatan lebih baik serta menawarkan produk motor yang lebih berinovatif kepada pengguna akibat persaingan antara penanggung insurans,” katanya.

Manfaat lain, kata Johari, pengguna berpeluang membeli produk baharu ditawarkan di bawah tarif seperti insurans telematik yang mengambil kira tahap penggunaan kenderaan dan tabiat pemanduan.