Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, program MyBrain15 akan diteruskan dengan pembiayaan sebanyak RM500 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-11.

"Sehingga kini, bilangan pemegang PhD dalam negara melebihi 23,000 orang," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Siti Mariah Mahmud (Pas-Kota Raja) yang ingin tahu mengenai program MyBrain15 yang menyasarkan 60,000 pemegang biasiswa bagi pemegang PhD menjelang 2023, apakah pencapaiannya dan adakah program ini akan diteruskan pada masa depan.

Idris berkata, MyBrain15 hanyalah satu daripada mekanisme bagi mencapai melahirkan lebih ramai bilangan pemegang PhD yang disasarkan, selain peringkat sarjana.

Beliau berkata, Skim Latihan Akademik (SLAB/SLAI) turut menaja program PhD yang sehingga kini menaja 8,100 penuntut sarjana dan PhD yang menelan belanja sebanyak RM1,769 bilion.

Selain itu, terdapat juga Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) dan Universiti Penyelidikan yang membantu penyelidik seramai 8,321 orang antara tahun 2011 hingga tahun lepas mengikuti pengajian PhD dan Master.

Beberapa program lain turut ditawarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, Majlis Amanah Rakyat, Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI), Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Khazanah Nasional untuk menaja program PhD. - BERNAMA