Azalina Othman

Semasa membentangkan rang undang-undang untuk bacaan kali kedua, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan telah mempertimbangkan lapan perubahan dasar untuk meminda akta itu.

Katanya, lapan dasar itu ialah tindakan kebankrapan tidak boleh diambil terhadap penjamin sosial, 
me­­naikkan nilai minimum kebankrapan dan seseorang yang bankrap boleh dilepaskan awal daripada status kebankrapan selepas tempoh tiga tahun dari tarikh pemfailan Penyata Hal Ehwal (PHE).

Dasar lain kata beliau, mene­tapkan keutamaan penyampaian Notis Kebankrapan dan Petisyen Kebankrapan secara personal atau pos berdaftar dengan akuan terimaan penghutang, mewujudkan Mekanisme Penyelamat serta memperkenalkan sistem satu perintah menggantikan Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman.
“Kumpulan Wang Bantuan Insolvensi akan diwujudkan dan pelepasan daripada kebankrapan tanpa prosedur bantahan oleh pemiutang bagi golongan bankrap yang ditetapkan.

“Golongan itu ialah penjamin sosial yang dibankrapkan di bawah akta itu, bankrap yang telah meninggal dunia, bankrap yang disahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebagai seorang yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) dan bankrap yang telah disahkan oleh pegawai perubatan kerajaan sebagai penghidap penyakit kronik atau serius,” katanya.

Azalina berkata, terdapat enam ciri penting dalam rang undang-undang berkenan iaitu tindakan kebankrapan adalah pilihan terakhir untuk penguatkuasaan dan pelaksanaan penghakiman selain prosiding kebankrapan bukan pi­lihan pertama.

Katanya, langkah pindaan itu juga bagi mewujudkan kaedah alternatif kepada prosiding kebankrapan sebelum seseorang individu dibankrapkan manakala seseorang yang bankrap dan memenuhi kriteria pelepasan ber­potensi untuk dilepaskan dengan lebih cepat.

Menurutnya, itu sekali gus boleh merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara dan pada masa sama pihak pemiutang memperoleh manfaat apabila sumbangan yang munasabah dibuat oleh pihak penghutang.

“Di samping itu, ini akan mewujudkan masyarakat yang bijak dari segi pengurusan kewa­ngan dan memberi kesedaran agar lebih bertanggungjawab mengenai pembayaran hutang serta memastikan pihak pemiutang lebih berhemah dalam memberikan kemudahan pembiayaan pinjaman.

“Kadar kes kebankrapan bo­leh dikurangkan dan memudahkan cara prosiding kebankrapan dan proses pentadbiran kes,” katanya.