Perkara itu antara tiga pengesyoran yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi tujuan penambahbaikan berhubung isu pengurusan projek penbinaan Hospital Shah Alam (HSA).

Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, pihaknya turut mengesyorkan kontraktor yang hendak dilantik harus mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam pembinaan hospital.

"Berdasarkan kenyataan beberapa saksi yang dipanggil memberi keterangan kepada PAC dalam prosiding, jawatankuasa sebulat suara merumuskan bahawa kegagalan menyiapkan projek pembinaan HSA adalah disebabkan kontraktor asal yang tidak berpengalaman dalam pembinaan hospital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PAC membentangkan laporan berhubung isu pengurusan projek pembinaan HSA di bawah Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat hari ini.

Isu tersebut dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 3 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 November 2014.

Berikutan itu, PAC memulakan prosiding pada 1 April 2015 dengan memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Farida Mohd. Ali dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) Jabatan Kerja Raya, Datuk Ir. Adanan Mohamed Hussain bagi memberikan penjelasan terhadap isu berkenaan.

Dalam prosiding tersebut, PAC turut membangkitkan isu pelantikan kontraktor dan prestasi projek pembinaan; pengurusan peralatan perubatan; peningkatan kos projek dan pemantauan projek.

Mengulas lanjut, Hasan memberitahu, PAC turut mengesyorkan kepada kerajaan untuk memastikan wang terlebih bayar berjumlah RM68.53 juta seperti dinyatakan Jabatan Audit Negara menerusi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 3, dituntut semula daripada Sunshine Fleet Sdn. Bhd. bagi mengelakkan kerugian wang rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata, PAC bersetuju dengan penambahbaikan diambil Jabatan Kerja Raya bagi mengatasi kelemahan dalam projek pembinaan hospital berkenaan untuk memantau pelaksanaan oleh Gadang Engineering (M) Sdn. Bhd. sebagai kontraktor penyiap.

"Pengurusan projek pembinaan HSA perlu dilaksanakan dengan lebih teliti secara teratur dan cekap serta dapat dimanfaatkan sejajar dengan objektif pembinaan dan seterusnya mendapat 'best value for money' bagi setiap ringgit yang dibelanjakan kerajaan.

"Kerjasama baik antara pihak Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya dan kontraktor adalah perlu bagi memastikan kelancaran projek," katanya. - UTUSAN ONLINE