OTHMAN AZIZ

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, organisasi keselamatan sosial itu juga hanya membenarkan pengeluaran tersebut dilakukan pencarum yang berumur kurang 55 tahun menerusi simpanan Akaun 2.

Walau bagaimanapun jelasnya, pencarum itu perlu menerima surat jawapan berstatus ‘terpilih’ untuk mengerjakan haji daripada Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) terlebih dahulu baharu layak untuk mengeluarkan simpanan tersebut.

“Dalam masa sama, ia tertakluk kepada perbezaan jumlah kos haji dengan baki simpanan Akaun Tabung Haji pencarum pada jumlah maksimum RM3,000 atau baki Akaun 2 (mengikut mana-mana yang terendah).

“Syarat-syarat ini diperketatkan kerana tanggungjawab KWSP adalah menyediakan perlindungan persara­an dalam bentuk simpanan wajib kepada pencarum atau ahlinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Muhamad Mustafa sama ada pencarum boleh menggunakan simpanan KWSP masing-masing untuk mengerjakan ibadah haji, dalam sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Terdahulu, Othman turut menjelaskan KWSP tidak menyediakan kemudahan pinjaman kepada pencarum namun membenarkan ah­linya membuat pengeluaran bagi tujuan-tujuan khusus yang berkaitan dengan keperluan persaraan seperti pengeluaran perumahan.

Jelas beliau, terdapat beberapa jenis pengeluaran perumahan disediakan KWSP iaitu Pengeluaran Membeli atau Membina Rumah, Pengeluaran Mengurangkan atau Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan dan Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan.

“Atas sebab itu, para pencarum disarankan untuk membuat persediaan dan mengetahui tahap kewangan serta kemampuan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah.

“Pengeluaran Perumahan KWSP tidak memperuntukkan bagi tujuan pengubahsuaian rumah namun jika baki simpanan pencarum mencukupi, mereka boleh memohon,” katanya.