Katanya, masalah yang menyusahkan sebahagian besar penduduk Lembah Klang itu membuktikan dasar populis se­perti pemberian 20 meter padu air percuma yang dilaksanakan Kerajaan PKR Selangor memberi kesan buruk terhadap rakyat.

Hujah itu memang ada benar­nya kerana dasar air percuma yang berkuat kuasa di Selangor sejak ditadbir PKR dua penggal lalu telah menggalakkan pembaziran.

Akibatnya, rizab bekalan air bersih di Selangor yang kini marginnya pada tahap sifar tidak mencukupi untuk menampung permintaan yang meningkat secara mendadak ekoran pertambahan penduduk.

Subsidi air percuma juga mengurangkan hasil yang dikutip justeru menimbulkan masalah kekurangan dana untuk membaiki atau menggantikan paip-paip yang usang.

Berbeza dengan inisiatif Kerajaan Persekutuan yang merasionalisasi subsidi agar benar-benar dinikmati oleh golongan sasar, pemberian air percuma oleh Kerajaan PKR Sela­ngor bersifat pukul rata. Semua rakyat Selangor mener­ima air percuma tanpa mengira sama ada mereka miskin atau kaya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sepatutnya berjiwa besar dengan menga­ku dalam sidang Dewan Rakyat bahawa dasar populis khususnya pemberian air percuma yang bermula 10 tahun lalu itu secara tidak langsung telah menyusahkan rakyat di negeri itu.

Langkah itu lebih wajar berbanding membangkitkan isu lapuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disensasikan melalui penularan berita palsu dalam media sosial serta laporan media asing yang tidak tahu pun tentang kedudukan sebenar.